Kehidupan awal Patrick_Teoh

Patrick Teoh lahir di Ipoh, Perak, Malaysia. Beliau memasuki St. Michael's Institution sehinggalah Tingkatan 5. Sewaktu kecil, ibunya mengharapkan anaknya itu menjadi peguam kerana kepetahan bercakap.

Pada masa itu pilihan hiburan amat sedikit. Oleh itu, bapa Patrick membawanya dan ibunya sekali menonton wayang setiap hari untuk tayangan 9.15 malam, sungguhpun si bapa bukanlah seorang peminat filem. Daripada rutin harian menonton sebuah filem setiap hari, Patrick belajar bertutur dalam bahasa Inggeris dengan menonton aksi pelakon seperti John Wayne, Randolph Scott, Henry Fonda dan James Stewart. Tabiat melawat pawagam setiap hari kekal dengan Patrick sehingga mencecah usia 24 tahun. Rekod peribadi beliau iaitu menonton 6 buah filem dalam satu hari.

Selepas menamatkan sekolah menengah, Patrick menetap di Ipoh dan menjadi jurujual insuran nyawa dan ensiklopedia selama 1½ tahun. Akhirnya bapa beliau menggesa anaknya mencari "pekerjaan yang sebenar." Maka bermulalah pencarian kerjaya Patrick; pada satu masa beliau memohon pekerjaan sebagai atendan penerbangan carter. Suatu hari pada tahun 1966, beliau bermakan malam di rumah apabila terdengar pengumuman Rediffusion, sebuah stesen radio kabel, mengenai kekosongan jawatan juruhebah radio. Maka Patrick memohon jawatan tersebut, lalu menjalani temuduga dan lulus. Ketika itu beliau berusia 19 tahun.